Kerajaan Pas Kelantan Tidak Mampu Tanggung Kos Air

Keputusan kerajaan PAS Kelantan melaksanakan migrasi air di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi menyelesaikan isu bekalan air menjelang 2020 membuktikan tiada kerajaan negeri yang mampu memberi jaminan bekalan air bersih kepada rakyat dengan tarif munasabah, tanpa kerjasama Kerajaan Pusat.

Ia disebabkan kos pengurusan air semakin meningkat dan pelaksanaan penstrukturan industri air menerusi penubuhan Suruhan-jaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan PAAB bertujuan menangani masalah industri air yang semakin nazak jika gagal ditangani secara bersepadu.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran, berkata masalah pengurusan bekalan air bukan hanya dialami Kelantan tetapi juga negeri lain.

Katanya, migrasi itu akan membolehkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang juga anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) untuk membuat pinjaman kewangan dengan kerajaan pusat untuk tempoh pinjaman lebih lama dengan kadar bunga lebih rendah bagi menambah baik infrastruktur pengurusan dan bekalan air di negeri itu.

“Jika pinjam bank, AKSB kena bayar dengan kadar bunga tinggi dan tempoh pinjaman lebih pendek. Ini akan menyebabkan impak tinggi kepada tarif air negeri itu.

“Bagaimanapun, menerusi penstrukturan industri air dan migrasi air, AKSB boleh membuat pinjaman dengan kerajaan dengan tempoh pinjaman lebih lama sehingga 30 tahun.

“Ia beri impak kepada tarif dan rakyat akan untung (dengan mendapat bekalan air bersih pada kadar tarif minimum),” katanya kepada Berita Harian, semalam.

“Beliau mengulas keputusan kerajaan Kelantan yang akhirnya bersetuju melaksanakan migrasi air di bawah PAAB bagi membolehkannya membuat pinjaman kemudahan atau projek berkaitan daripada Kerajaan Pusat selepas isu bekalan air bersih semakin serius di negeri itu.

Piarapakaran berkata, tiada sebab kerajaan negeri menolak penstrukturan itu kerana model berkenaan terbukti berjaya di United Kingdom, malah ditambah baik.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata isu bekalan air bersih semakin serius di Kelantan dan menjejaskan ramai pihak di negeri itu.

“Migrasi ini buktikan kerajaan Kelantan tidak mampu uruskan bekalan air bersih tanpa bantuan Kerajaan Pusat. Ia juga menunjukkan tolak ansur kerajaan PAS dengan BN (Barisan Nasional) di Pusat untuk kebaikan rakyat,” katanya menambah pihak terbabit perlu mengenepikan kepentingan politik kerana air adalah hak asasi manusia, termasuk rakyat Kelantan.

Leave a comment